in

RM3 bilion untuk tanam padi 2 tahun 5 musim

Pesawah padi tempatan turut terkesan dengan kos operasi yang semakin meningkat - Gambar hiasan

ALOR SETAR, 15 Julai – Kerajaan dijangka memerlukan sehingga RM3 bilion bagi menyediakan infrastruktur kawasan sawah seluruh negara bagi merealisasikan strategi pengeluaran padi dua tahun lima musim, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu bagi membangunkan kemudahan infrastruktur seperti menaik taraf jalan, tali air dan saliran sawah secara berperingkat dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun.

Katanya, sementara menunggu segala infrastruktur terbabit siap dan penanaman dua tahun lima musim dapat dimulakan, nasib pesawah akan terus dibela dengan pelbagai inisiatif bagi menjamin kehidupan mereka.

“Kita nak cari penyelesaian (untuk pesawah), bukan nak bergaduh tunjuk siapa hero? Kita bincang dengan Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kalau nak jayakan projek tanaman padi dua tahun lima kali pengeluaran kena ada infrastruktur jalan, tali air dan berbagai lagi.

“Saya tanya berapa? Mula untuk dua, tiga tahun ini paling kurang kena ada RM3 bilion.

“Jumlah itu banyak, tetapi kalau negara ini selamat daripada sakau, curi dan rasuah, kita boleh selesaikan masalah.

“Saya luluskan RM3 bilion hari ini, kita kena buat untuk tingkatkan produktiviti pengeluaran padi.

“Itu sebabnya saya cakap kena jimat belanja, sementara nak tunggu dapat hasil, kita bagi RM200 sebulan selama tiga bulan kepada 300,000 pesawah sementara dapat tuaian,” katanya lapor BH.

Infrastruktur perlu disediakan untuk warga pesawah

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Peladang, Penternak, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil di Ibu Pejabat MADA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berikutan itu kerajaan berharap pesawah dapat memberi kerjasama kepada setiap agensi pelaksana di kawasan masing-masing bagi menjayakan usaha ke arah tanaman padi dua tahun lima musim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Katanya, kerajaan juga sudah berbincang bersama syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi membantu usaha ini terutamanya di kawasan MADA yang mempunyai kawasan tanaman padi seluas 201,000 hektar.

“Saya cakap dengan Syed Mokhtar (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary), untuk pesawah ini bagi sedikit, tahun lepas dapat RM10 juta, tahun ini dapat RM50 juta bagi terus kepada pesawah, dia (Syed Mokhtar) tak susah pun.

“Bila saya nak bantu petani, mereka serang kata saya tekan orang Melayu kaya, saya tak sakau duit dia, bukan minta masuk akaun sendiri atau parti.

“Dahulu kenapa tak minta (pada Syed Mokhtar), BERNAS janji bagi 30 peratus keuntungan kepada pesawah.

“Kita cari jalan bantu pesawah, ada dasar pertanian sawah padi.

“Kita tak boleh import (beras) semua, ada keperluan 50 ke 60 peratus padi dihasilkan sendiri.

“Kita tak boleh buka kawasan sawah baharu kecuali di Sabah dan Sarawak, oleh itu program dua tahun lima musim kena dilaksanakan,” katanya.- nasionalkini.my

Pertembungan Sabah, Sri Pahang jadi tumpuan

Baddrol Bakhtiar ‘tukar angin’ tinggal dunia bola sepak