in

Pertembungan Sabah, Sri Pahang jadi tumpuan

Anak buah Kim Swee diramal berdepan tugas berat apabila melayan kunjungan skuad Tok Gajah malam ini - Gambar oleh Sabah FC

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Selepas mengharungi dua perlawanan menentang pasukan bawahan, Sabah kini perlu berdepan cabaran getir apabila melayan kunjungan Sri Pahang di Stadium Likas, malam ini.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berada dalam ‘mood’ terbaik apabila merekodkan dua kemenangan berturut-turut menentang pasukan tangga ke-12 dan 13, Kelantan United (3-0) dan Kuching City (4-3).

Namun, dua kemenangan itu tidak boleh dijadikan jaminan untuk mereka berasa selesa kerana Sri Pahang jelas pasukan lebih kuat apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas Liga Super ketika ini.

Paling penting, perancangan rapi dan lebih baik harus dilakukan Kim Swee dalam memastikan skuad Badak terus menghimpit pasukan kelompok atas selepas sekarang ini menghuni tangga kelima, lapor BH.

Jentera serangan Sabah perlu lebih bijak dalam mencipta peluang untuk menjaringkan gol kerana Sri Pahang adalah pasukan kedua paling sedikit bolos dalam liga musim ini selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Senjata baharu Tok Gajah

Berdasarkan statistik, ‘mesin gol’ dimiliki Kim Swee tampak lebih tajam apabila sudah meledak 37 gol berbanding jentera serangan skuad kendalian Fandi Ahmad yang menghasilkan 29 gol dalam 16 perlawanan.

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad (kanan) akan memastikan skuad Sabah FC berdepan tugas sukar malam ini dalam aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu – Gambar oleh Sri Pahang FC

Namun, skuad Badak harus berwaspada dengan senjata baharu Tok Gajah iaitu penyerang dari Brazil, Rafael Silva dan pemain tengah Uzbekistan, Kuvondik Ruziev yang pasti lebih bersedia untuk dijadikan taruhan utama mereka dalam perlawanan itu.

Bagi Sri Pahang, kemenangan juga menjadi buruan utama mereka di Kota Kinabalu selepas kini terikat 34 mata bersama Selangor yang menghuni tangga kedua.

Kejayaan menundukkan Gergasi Merah 1-0 di halaman sendiri, Ahad lalu menjadi tonik buat Tok Gajah berdepan Sabah dengan anak buah Fandi memiliki semangat ‘luar biasa’ dan mampu mencipta sesuatu hingga tiupan wisel penamat.- nasionalkini.my

TFC guna senjata rahsia temu PDRM

RM3 bilion untuk tanam padi 2 tahun 5 musim