KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pempengaruh media sosial, Dd Chronicle hari ini tampil membuat laporan polis bagi melindungi serta menjaga ketenteraman keluarganya apabila ada pihak mendakwa dirinya adalah seorang pendatang tanpa izin (PATI) dan yang menyalah guna kad pengenalan biru.
Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh berhubung isu kebocoran data peribadinya di media sosial.
Katanya dia bertindak sedemikian bagi melindungi serta menjaga ketenteraman keluarganya.
“Selepas laporan ini dibuat, saya harap pihak yang membuat hantaran berkenaan boleh padam kenyataan itu.
“Segala bukti saya dah tunjuk sebelum ini, namun mereka enggan mempercayainya,” ujarnya.
Jelasnya, dia tampil membuat laporan polis bagi menegakkkan kebenaran serta menyelar dakwaan dia adalah PATI yang memperolehi kad pengenalan biru secara salah.
“Saya adalah warga Malaysia, yang mengikut Perlembagaan boleh memilih dan mengundi calon yang diinginkan malah boleh berkempen seperti yang lain.
“Walaupun saya keturunan Indonesia namun saya lahir di sini.
“Jadi, saya berhak menentukan masa depan anak cucu saya,” katanya.
Sementara itu, wakil peguam, Asiah Abd Jalil berkata, data peribadi milik anak guamnya telah diambil dan dimanipulasi termasuk melibatkan pendaftaran Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) tanpa pengetahuannya.
“Perkara ini sangat serius kerana pada awalnya bermula dari buli siber sehingga melarat kepada isu keselamatan yang membahayakan anak guam serta keluarga,” tegasnya. – nasionalkini.my