BUKIT MERTAJAM, 5 Jun – Naib Presiden PKR menyifatkan pendekatan agresif Perikatan Nasional (PN) dalam berkempen di media-media sosial ketika ini seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Nurul Izzah Anwar berkata, PH perlu lebih agresif dalam memenangi hati rakyat melalui medium sama.
“Ini antara ‘bahaya’ yang terpaksa kita hadapi sekarang iaitu kehadiran PN yang sangat ‘besar’ dan menonjol dalam media sosial.
“Begitu sukar sebenarnya untuk menangkis fitnah-fitnah yang sedang menular dalam TikTok dan sebagainya.
“Jadi, kita ingatkan juga kepada pimpinan dan semua anggota (parti) kita supaya berwaspada. (Ini) termasuk pengundi kerana kita tidak mahu undian itu (nanti) dibuat bukan kerana fakta,” katanya.
Terdahulu beliau hadir Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Bukit Mertajam.
Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang berkata, meskipun PH agak ‘terlewat’ dalam berkempen di media sosial seperti Tiktok, namun, jentera parti perlu terus bekerja keras.
Malah ia penting bagi memastikan ‘keberadaan’ jentera parti itu di platform berkenaan ‘disedari’ demi memenangi semula hati rakyat khususnya pengundi muda.
“Jadi, kerana itu, fokus kita ialah untuk memenangi hati pengundi muda, ‘first time voters’ untuk (membolehkan mereka) mengenali apa dan siapa sebenarnya dalam PH dan kerajaan perpaduan. – nasionalkini.my