KUALA LUMPUR, 21 Julai- Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan bertanding di 108 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan parti itu menampilkan sebanyak 63 peratus calon muka baharu, dengan hanya 18 peratus dalam kalangan penyandang.
“Sementara 20 peratus lagi terdiri daripada mereka yang pernah bertanding, tetapi mahu menawarkan diri mereka semula, ia sebagai bukti kesinambungan muka baharu dan lama,
“Kita juga tidak lupakan calon wanita, di mana cukup ramai calon dalam kalangan itu. Begitu juga pemuda dan bekas pemuda dan puteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri ke-15, di Pusat Dagangan Dunia, malam ini.
Turut hadir bersama Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta kepimpinan tertinggi parti-parti komponen UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN.
Tambahnya lagi,pada PRN kali ini, BN menampilkan 87 peratus calon yang betanding terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi. – nasionalkini.my