in

Exists tetap serupa miliki suara padu, peminat zahirkan kebanggaan

WhatsApp Image 2023 06 05 at 9.04.48 PM 1
Anggota Exists puas hati kerana penonton terhibur dengan persembahan mereka.

Oleh Hajidah Miharbi

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Meskipun tidak melakukan promosi besar-besaran mengenai penganjuran konsert Exists yang hanya dimuat naik di media sosial rasmi Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) namun tiket tetap laku bagaikan pisang goreng panas.

Bertempat di DFP pada 3 Jun lalu meninggalkan momen indah kepada 920 peminatnya yang hadir di dewan berprestij itu apabila pulang dengan senyuman lebar kerana berpuas hati mendengar 16 buah lagu yang didendangkan kumpulan bersuara emas yang ditubuhkan pada 1991.

Malah, lebih membanggakan peminat bagaikan mendengar lagu daripada cakera padat kerana itulah kelebihan dua vokalis kumpulan tersebut.

Penonton yang rata-rata adalah peminat yang membesar dengan lagu-lagu Exists itu adalah kekuatan kepada Exists yang menampilkan Ezad dan Mamat sebagai vokalis pada malam itu.

WhatsApp Image 2023 06 05 at 9.05.07 PM
Exists tidak banyak membuat susunan muzik baharu berikutan mahu mengekalkan keaslian lagu tersebut.

“Penonton yang datang malam ini adalah ‘nyawa muzik’ kami. Ada yang datang dari jauh. Kami terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat. Bagi kami, bila dapat bergabung begini dan menghiburkan peminat yang kebanyakannya orang yang sama adalah satu kepuasan.

“Kami pun rasa bangga juga sebab kebanyakan kita punya fans berusia 40-an dan buying powers tu kuat. Cakap saja, mereka datang. Rata-rata mereka mula kenal Exists sejak kami remaja lagi,” kata Ajai yang merupakan pemain keyboard.

Bagi Musa, keterujaan peminat untuk menonton konsert Exists dan membeli tiket awal merupakan satu langkah bijak. Katanya, bila mengetahui jualan tiket untuk konsert di DFP yang bermula pukul 8.30 malam itu habis dijual, anggota Exists menjadi bersemangat untuk mengadakan persembahan.

“Bila fans memberi responds cepat selepas kita umum jualan tiket, mereka terus grab (beli) cepat. Sebenarnya, itu pemangkin untuk kita dan kita sudah boleh agak yang konsert itu akan sukses dan dapat sambutan hangat.

WhatsApp Image 2023 06 05 at 9.05.42 PM
Mamat mengembalikan nostalgia peminat lagu Untukmu Ibu.

“Bagi saya, kalau peminat beli tiket saat -saat akhir itu tak berapa sihat kerana ia akan buat penganjur, kita yang nak perform ni pun akan rasa gelisah. Kita nak penganjur sentiasa sukses dengan konsert demi konsert. Sebab kalau penganjur sukses dalam satu konsert, dia akan buat lagi. Sebenarnya kejayaan itu semua saling berkait, penganjur, artis dan peminat,” ulas Musa selaku pemain bes untuk kumpulan itu.

Untuk persembahan yang dimulakan dengan lagu Seperti Dulu, Percayakan Siti, Julia, Jesnita dan Bunga oleh Ezad, pemain gitar kedua Exists, Along memberitahu bahawa pada malam itu tidak banyak perubahan dari segi susunan muzik yang dilakukan.

“Untuk konsert ini kita tak buat banyak arrangement baharu. Hanya 40 peratus saja sebab kita ada segmen akustik dan juga arrangement baharu yang kita ubah sikit dari segi intro lagu.

“Selain daripada itu, kita lebihkan originality lagu tersebut sebab kita nak penonton rasa nostalgia itu ada. Bila mereka rasa muzik yang kita main itu original macam dulu, automatik mereka akan terkenang zaman silam. Kita nak penonton rasa macam zaman sekolah dulu. Kalau kita terlalu modified sangat tak nak mereka hilang rasa terhadap lagu asal,” jelas Along.  

Tambahnya lagi, selama 30 tahun lebih Exists yang turut dianggotai oleh Ujang (dram) berkecimpung dalam industri muzik, mereka jarang berpeluang mengadakan persembahan di tempat seperti DFP.

“Kata tak pernah dapat perform di tempat macam ni, jadi kita grab juga peluang ini. Tahun lepas, pihak DFP ada hubungi saya tapi kami tak dapat perform sebab ada konsert lain. Mereka panggil lagi lepas konsert Resolusi, jadi kita terima tawaran tersebut.

“Di sini kita lebih dekat dengan fans sebab kalau stadium kita tak dapat dengar suara mereka. Bila macam ni kita dapat dengar penonton jerit panggil nama kita. Bila fans sing along pun kita dengar jelas. Itu yang buatkan kami seronok sepanjang beraksi di atas pentas,” katanya lagi.

WhatsApp Image 2023 06 05 at 9.05.25 PM
Nyanyian Ezad masih sama mengekalkan momentum nyanyian dengan suara padu.

Disebabkan mahu penonton menyanyi bersama dan tidak mahu menghilangkan ‘keaslian’ lagu asal, Ezad dan Mamat menyanyi penuh setiap lagu. Sudah pastilah penonton teruja bila Mamat mendendangkan lagu Nota Di Lautan Sepi, Untukmu Ibu, Anugerah, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan Janji Padamu (akustik).

Begitu juga bila Ezad mendendangkan lagu Kapal Terbang Kertas, Mengintai Dari Tirai Kamar dan secara akustik untuk lagu Pertama dan Masih Terserlah Ayumu. Lagu penutup konsert Exists disudahi dengan lagu Alasanmu oleh Ezad dan Mamat.

Malah Exists sempat berkongsi berita gembira yang mereka juga akan mengadakan konsert berkonsep unplugged pada Januari ini di Dewan Plenary, KLCC.

“Januari 2024 nanti kita akan buat konsert di Plenary Hall, KLCC dan bulan yang sama juga kita akan buat show di Singapura. Lepas habis sana kita akan announce tour satu Malaysia pula. Apa pun kita akan mula dengan konsert unplugged dulu untuk rapatkan lagi hubungan dengan peminat.

“Konsert di Kuala Lumpur dan Singapura akan berbeza kerana Mamat tak dapat pergi ke Singapura. Di Kuala Lumpur nanti ada Mamat dan Shah, reunion. Bulan September ini di House Boom, Sepang,” kata Ajai. – nasionalkini.my

sek afghan 1

Hampir 80 pelajar perempuan Afghanistan dikejar hospital kerana diracun

izzah 1

PH perlu lebih agresif dalam tawan hati rakyat melalui media sosial