KUALA LUMPUR, 5 Jun – Seorang kanak-kanak 12 tahun berdepan saat menyakitkan selama 20 mint selepas tercucuk besi pagar di punggung sedalam lima sentimeter dalam kejadian mengerikan di taman Seri, Sungai Besar, petang tadi.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.25 petang Isnin mengenai insiden tersebut dan mengerahkan 10 anggota ke lokasi kejadian.
“Kanak-kanak tersebut tersangkut di besi pagar berkenaan lebih kurang 20 minit sebelum diselamatkan pihak bomba yang tiba di lokasi pada pukul 6.38 petang.
“Kejadian disedari oleh jiran kerana ibu mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Wan Md Razali berkata, mangsa kemudian berjaya diangkat oleh pihak bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke hospital Sabak Bernam, Selangor dengan menaiki ambulans.
hHasil maklumat orang ramai, kanak-kanak malang itu sebelum ini dikatakan sering bermain di atas pagar terbabit.
Justeru beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. – Agensi