ALOR SETAR, 11 Ogos – Rakyat di negeri ini disaran membuat pilihan yang tepat serta tidak takut untuk berkata ‘no’ kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri sekiranya keputusan yang dibuat tidak menguntungkan rakyat dan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah mahukan supaya semua keputusan dibuat negeri ini, boleh diikuti pihak-pihak lain demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Kalau nak undi, rakyat Kedah kena pilih satu kerajaan yang kuat dan kukuh, yang boleh berkata ‘no kepada Perdana Menteri.
Kita boleh berkata ‘no’ kepada sesiapa pun yang pada fikiran kita, keputusan dibuat mereka tidak menguntungkan kita.
“Kita mahu supaya apa-apa keputusan yang kita buat, mereka boleh ikut kerana alasan dan justifikasi diberikan untuk setiap keputusan itu adalah munasabah untuk kepentingan negeri dan rakyat negeri ini,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya rakyat Kedah memilih memberi kuasa di negeri ini kepada pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), mereka tidak akan berani untuk berbuat demikian.
“Kena ada satu keputusan yang kuat, kukuh di Kedah kerana kita nak pastikan, kitalah yang mengawal hasil mahsul negeri ini untuk kepentingan rakyat Kedah Darul Aman keseluruhannya.
Bukan untuk kepentingan tauke-tauke. Pilihan Raya Negeri ini tak penting kata mereka, tak boleh ubah kedudukan kerajaan Persekutuan katanya. Yang mereka dok ‘pulun’ itu pasal apa? Pasal kekayaan negeri kitalah,” katanya. – nasionalkini.my