KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan terlibat dalam skandal projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) selain menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan membunuh karakternya.
Katanya, dakwaan itu adalah tidak berasas memandangkan keputusan perolehan kapal berkenaan telah dibuat sebelum beliau menjawat jawatan tertinggi di Kementerian Pertahanan.
“Masaitu saya belum ada di Parlimen, jadi Menteri Pertahanan pada bulan 11 tak masuk akal langsung.
“Fitnah itu sengaja dibuat untuk pembunuhan karakter, dia nak musnahkan saya,” katanya ketika berucap pada program Malam Perpaduan Paroi di Dataran Senawang, di sini, malam tadi.
Terdahulu, tular satu rakaman di Youtube milik Raja Petra Raja Kamarudin yang mendakwa Mohamad merupakan sebagai antara individu terlibat dengan skandal berkenaan.
Pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi kontroversi selepas pendedahan projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 namun hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.
Pada masa sama, beliau turut menafikan satu lagi dakwaan akan dipecat daripada jawatan menteri kerana tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hal demikian susulan tidak turun berkempen bersama pemimpin utama negara itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. – nasionalkini.my