in

Pertumbuhan ekonomi Pahang Barat Plus, lima tahun lagi

WhatsApp Image 2023 07 04 at 5.31.50 PM
Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) diberikan penerangan ketika melawat pameran peserta bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-15 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, hari ini.

Oleh AD Zafir

KUANTAN, 4 Julai – Pertumbuhan ekonomi di wilayah Pahang Barat Plus dijangka mencapai unjuran sepenuhnya, lima tahun lagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan di wilayah Pahang Barat tidak mengalami kelewatan namun di peringkat permulaan banyak perkara yang perlu diteliti.

Menurutnya, tidak ada istilah ‘pertumbuhan terbantut’ seperti mana yang digambarkan malahan wilayah Pahang Barat Plus hanya menunggu masa sahaja.

“Kerajaan negeri yakin Pahang Barat Plus adalah platform yang ideal untuk mempercepatkan pembangunan di sebelah barat negeri itu. Pahang Barat Plus akan mencapai potensi penuhnya dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, atau mungkin tiga tahun paling cepat,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan pelancaran Invest@ECER 2023, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaakob, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Exco Pelaburan, Pembangunan Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak memperlahankan pembangunan malah sentiasa bertindak memastikan pembangunannya seimbang antara timur dan barat negeri itu.

“Kita ada kawasan perindustrian di sebelah barat Pahang… contohnya di Lipis di mana kelulusan telah diberikan untuk membina kilang peluru dan tanah telah diluluskan tetapi memerlukan masa (untuk membina kilang).

“Selain itu, terdapat juga Projek ternakan lembu Wagyu berskala tinggi… produk tenusu di Lipis ini akan disegerakan,” katanya. – nasionalkini.my

Logo of Department of Immigration Malaysia.svg

Imigresen tidak akan lindungi anggota terbabit rasuah

WhatsApp Image 2023 07 04 at 5.35.23 PM

Tok Mat bertanding kerusi Dun Rantau kembali