in

Wan Rosdy patut berterus-terang

Mohd Yazid Mohd Yunus

KUANTAN, 1 April – Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail perlu berterus-terang mengenai kaedah pengagihan peruntukan kepada wakil rakyat di Pahang.

Sebagai ahli politik berpengalaman dan menjadi menteri besar untuk penggal kedua, dia sepatutnya mendahulukan kebajikan rakyat berbanding sibuk berpolitik.

Ketua BERSATU Paya Besar, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, kenyataan dibuat Wan Rosdy semalam kononnya kerajaan Pahang sudah menyalurkan peruntukan kepada pembangkang adalah jelas tidak tepat dan mengelirukan.

“Mana ada peruntukan untuk pembangkang… tahun lepas dia cakap ada bagi RM30,000 untuk pembangunan kawasan… tahun ini belum dengar khabar berita lagi.

“Dia bagi RM30,000 untuk setahun, bukan terus kepada wakil rakyat pembangkang, tapi melalui pejabat daerah,” katanya kepada Malaysiapost.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Dia yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Lepar berkata, setiap kali Ramadan wakil rakyat pembangkang menerima RM5,000 dan perlu menghantar resit perbelanjaan menggunakan wang diberikan itu.

“Macam kami dapat RM5,000 itu untuk kegunaan setahunlah. Bulan Ramadan saja dia bagi peruntukan.

“Jadi, kami wakil rakyat kena berjimat… kena belanja RM400 sebulan untuk bantu rakyat dalam kawasan kami wakili.

“Sebab itulah saya cakap, Wan Rosdy ini memang seorang yang ‘adil’,” katanya.

Mohd Yazid berharap Wan Rosdy menghayati titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu peruntukan diagihkan secara adil tanpa mengira kerajaan atau pembangkang.

“Kalau titah tuanku Sultan pun dia tak dengar, tak tahulah apa lagi yang kami boleh cakap,” ujarnya.– nasionalkini.my

Terlanjur kata buruk padahnya

Sumbangan barang dapur di Sri Pandan