KUANTAN, 21 Januari – ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin menyifatkan tuduhan kononnya dia tidak menyokong penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang adalah tidak tepat.
Ketua BERSATU Maran itu juga menganggap tindakan pengendali sebuah portal melemparkan tuduhan itu sebagai ‘kurang matang’.
“Dah takde isu sangat dah ni… ‘Whatsapp group’ kampung sendiri pun nak dijadikan berita sensasi.
“Grow up boy!,” katanya melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Hantaran itu dibuat Jasri susulan artikel disiarkan portal berkenaan.
Memetik laporan portal itu, penubuhan sekretariat yang dilancarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 5 Januari lalu di ibu negara dipandang ‘sinis’ oleh Jasri.
“Pandangan sinis beliau (Jasri) dalam perbualan WhatsApp ‘group’ mencerminkan sikap tidak memikirkan kebajikan anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang dan hanya tahu berpolitik sepanjang masa,” lapor portal itu.– nasionalkini.my