in

Dilema gerakan koperasi di Pahang

Gambar hiasan

KUANTAN, 7 Januari – Sehingga Disember lalu, lebih 1,000 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang.

Jumlah koperasi di Terengganu pula dianggarkan sekitar 700 lebih, manakala di Kelantan sebanyak 808 koperasi berdaftar dengan SKM Kelantan.

Dari segi hasil dan perolehan dikutip koperasi di Pahang, jumlahnya mencecah RM970 juta untuk tahun lalu.

Keahlian koperasi di Pahang kini dikatakan melebihi 300,000 ahli.

Itu belum lagi diceritakan mengenai kejayaan demi kejayaan direkodkan koperasi berdaftar di Pahang.

Tapi, sayang sekali, semua kejayaan dan pencapaian ini seolah tidak dipandang atau dihargai oleh kerajaan negeri.

Sehingga kini, kerajaan Pahang tidak memberikan peruntukan khas bagi merancakkan gerakan koperasi di negeri ini.

Berbeza dengan negeri Terengganu yang dikatakan menyalurkan lebih RM500,000 untuk menyemarakkan lagi gerakan koperasi di negeri berkenaan.

Begitu juga negeri Pulau Pinang dan Johor yang menyediakan peruntukan lebih RM1 juta untuk menyokong gerakan koperasi di negeri masing-masing.

Di Kelantan pun ada juga khabarnya peruntukan untuk meraikan gerakan koperasi di negeri itu.

Namun, di Pahang memang tidak ada peruntukan khusus disediakan kepada gerakan koperasi.

Ini sangat menghairankan dan selebihnya amat mengecewakan.

Adakah kerajaan Pahang tidak melihat gerakan koperasi sebagai satu sumber atau sumbangan kepada pendapatan kerajaan negeri?

TIADA PERUNTUKAN UNTUK GERAKAN KOPERASI DI PAHANG

Kalau beginilah caranya, sudah tentu usaha membudayakan koperasi dalam kalangan rakyat di negeri Pahang akan berdepan detik sukar.

Bagaimana pula dengan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah di Pahang mengenai kepentingan gerakan koperasi?

Sudahkah berlaku sebarang usaha atau promosi lebih gigih dibuat untuk membawa kesedaran ini di peringkat awal.

Sedangkan, gerakan koperasi itu sendiri sudah membuktikan bahawa ia menyediakan ruang untuk meraih pendapatan lumayan.

Untuk rekod, sebanyak 15,315 koperasi berdaftar dengan jumlah keanggotaan seramai 7.3 juta orang dengan modal syer/ yuran terkumpul sebanyak RM16.99 bilion di seluruh negara setakat ini.

Data ini sudah jelas menunjukkan koperasi mampu memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara dan mewujudkan satu rangkaian perniagaan kukuh dan mampan.

Ini diperkukuhkan lagi dengan rekod kedudukan aset yang secara keseluruhannya berjumlah RM159.6 bilion.

Sumbangan perolehan koperasi juga dilihat memberangsangkan pada 2022 iaitu melebihi RM45.50 bilion dan menunjukkan sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Jadi, sampai bila agaknya gerakan koperasi di Pahang akan dibiarkan terkapai-kapai tanpa sokongan daripada kerajaan negeri.— nasionalkini.my

Sibuk bukan alasan tidak turun padang

IMG 20230507 WA0010

Pahang nafi abai gerakan koperasi