BENTONG, 4 Ogos – Seorang peniaga durian berdepan detik mendebarkan apabila kerugian selepas didatangi penyamun yang bertindak agresif dan menyamun hasil jualan.
Pemilik gerai durian, Ho Kam Seong, 31, berkata, gerainya yang terletak di Simpang Kilang Pascorp Paper berhampiran susur keluar Bentong didatangi seorang lelaki menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 3 petang semalam.
Menurutnya, ketika kejadian tiada pelanggan lain dan diuruskan oleh pembantunya berikutan dia mempunyai urusan luar.
“Lelaki itu berpura-pura mahu membeli durian dan meminta pekerja membuka raja buah itu sebelum suspek datang dari arah belakang.
“Pekerja wanita saya terasa sesuatu di pinggangnya sebelum terkejut melihat pistol.
“Suspek kemudian meminta beg yang disandang pekerja sebelum beredar melarikan diri menghala ke Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak. Saya kerugian RM800 hasil jualan durian,” katanya.
Kam Seong berkata dia terkejut selepas dihubungi pembantunya dan menyatakan menjadi mangsa samun.
Malah katanya kejadian berkenaan merupakan pertama kali gerainya disamun selepas lebih lima tahun berniaga di lokasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd. Kahar mengesahkan pihaknya menerima laporan dan pihak polis sedang giat menjejaki suspek. – nasionalkini.my