in

10 ahli geng Topeng kena berkas

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 25 Julai – Geng Topeng yang bertindak ganas mengikat dan mencederakan mangsa ketika melakukan samun serta pecah rumah lumpuh selepas 10 individu ditahan dalam dua serbuan berasingan, 13 Julai lalu.

Suspek terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun itu ditahan di Hentian sebelah Simpang Renggam arah Utara di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Impian Residence Senibong, Masai, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit aktif sejak Februari lalu dengan melakukan kegiatan itu di beberapa kawasan di sekitar negeri ini.

“Geng ini aktif melakukan kegiatan samun di rumah tanpa mengira masa, tidak kira pagi, maghrib dan malam di seluruh negeri ini sejak Februari lalu.

“Geng ini yang sasarkan barangan berharga seperti wang tunai dan barangan kemas.

“Barangan kemas seperti rantai, gelang tangan dan anting-anting ini dijual kepada seorang individu di Machang, Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, lapor KOSMO.

Kamarul Zaman menunjukkan beberapa barang kemas yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya Geng Topeng pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru – Gambar oleh KOSMO

Dalam serbuan itu , pihaknya merampas pelbagai barangan kemas, beberapa bilah parang, pemutar skru, pemotong besi, pelbagai jenis telefon bimbit, beberapa keping resit pajak gadai dan pakaian suspek serta tiga buah kereta Proton Myvi dan Perodua Bezza.

Katanya, susulan penahanan 10 suspek itu, polis berjaya menahan seorang lelaki yang juga dalang kumpulan, Jumaat lalu.

“Lelaki itu akan membeli barangan kemas hasil samun penjenayah dan dileburkan menjadi jongkong emas bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Ujarnya, dengan tumpasnya Geng Topeng itu, polis berjaya menyelesaikan 14 kes samun dan satu kes pecah rumah membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Tangkak, Iskandar Puteri dan Seri Alam.

Tambahnya, kegiatan samun itu mengakibatkan kerugian RM680,000 kepada semua mangsa.

“Hasil semakan, tujuh daripada suspek mempunyai rekod jenayah dengan 43 rekod secara keseluruhan. Dua suspek adalah orang dikehendaki dan tiga suspek positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman 14 hari sehingga 27 Julai ini.- nasionalkini.my

Messi kapten Inter Miami

Bayi maut tersedak susu