in

Pantau warga asing lahir anak di Malaysia

Gambar hiasan

KUANTAN, 9 Jun – Pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan bagi memastikan tidak ada anak warga asing dilahirkan di negara ini mendapat taraf kewarganegaraan.

Ini termasuk mereka yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan kemudiannya mempunyai anak hasil perkahwinan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, sejak akhir ini banyak warga asing didapati berkahwin dengan wanita tempatan dan kemudiannya membuka perniagaan.

“Aktiviti ini bukan lagi rahsia, banyak kes pendatang asing (lelaki) kahwin dengan wanita tempatan untuk ‘menghalalkan’ mereka berniaga.

“Ada antaranya buka kedai runcit dan ada juga membuka perniagaan lain yang sepatutnya tidak boleh mereka buat dengan status warga asing itu.

“Tapi mereka bijak, cari wanita tua… janda atau macam-macam lagi taktik asalkan tujuan untuk memulakan perniagaan itu tercapai,” katanya.

Dia mencadangkan kerajaan atau majikan warga asing terbabit lebih tegas dalam hal ini bagi mengelak daripada pemilikan kewarganegaraan tidak secara mudah boleh diberikan kepada mereka.

Gambar hiasan

Katanya, banyak kelemahan daripada aspek penguatkuasaan seolah membuka ruang kepada kumpulan warga asing ini mengambil kesempatan.

“Kalau kita tak tegas, memang susah nak atasi perkara ini dan ia akan terus berlaku.

“Sebab itu kita minta pihak berkuasa yang berkaitan lebih tegas dan mengambil tindakan segera apabila menerima laporan daripada orang awam,” ujarnya.

Dr Abdul Rasid turut menasihatkan pihak berkuasa supaya lebih mementingkan amanah diberikan daripada terpesona dengan ‘habuan’ daripada warga asing.

Katanya, perkara ini melibatkan kedaulatan negara dan pihak berkuasa yang ‘makan suap’ demi ‘menghalalkan’ kegiatan licik warga asing ini dikenakan hukuman berat. – nasionalkini.my

Perjalanan mencabar masuk China

PKR umum calon Sungai Bakap Rabu ini