in

MBS sita makanan basah, sayur dijual warga asing

Gambar oleh Majlis Bandaraya Seremban

SEREMBAN, 1 September – Warga asing yang dikesan menjalankan perniagaan makanan basah dan sayur-sayuran di kaki lima di dua premis berasingan di Jalan Dato’ Bandar Tunggal di sini di kenakan tindakan sitaan oleh pihak berkuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Khamis.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan MBS antara jam 8 hingga 9.15 malam itu hasil daripada aduan awam.

“Pasukan serbuan turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kesihatan telah memeriksa dua premis yang diuruskan oleh warga asing.

“Siasatan mendapati premis berkenaan memiliki lesen perniagaan runcit dari pihak majlis (MBS) atas nama rakyat tempatan dan kedua-dua premis menjalankan aktiviti menjual barangan basah (sayuran) yang diletakkan di kaki lima premis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Veerapan berkata, sitaan dilakukan ke atas kedua-dua premis terbabit kerana menjual barangan di kaki lima tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Kesemua barang sitaan disimpan di Setor Penyimpanan MBS di Jalan Labu, Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum itu tular rakaman video di media sosial memaparkan beberapa warga asing berniaga di kaki lima premis di sekitar Seremban.- nasionalkini.my

Kamarul Zaman

Angkara rosakkan poster PRK, warga emas ditahan polis

Russia, China pusat serangan siber