KUANTAN, 9Jun – Jika poster program kewarganegaraan anjuran DAP tidak tular di media sosial, mungkin ramai tidak sedar mengenai kewujudan acara itu.
Penganjuran program berkenaan boleh menimbulkan pelbagai soalan dalam kalangan masyarakat yang kritis.
Bagi Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali, proses memperoleh kewarganegaraan bukanlah mudah dan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memiliki tanggungjawab besar dalam menentu layak atau tidak seseorang pemohon mendapat kewarganegaraan.
“Cuma kemudiannya baru kita sedar ada pihak yang menganjurkan program seperti itu dan kalau posternya tidak tular, mungkin ramai tak tahu mengenainya.
“Jadi kita nak tahu sama ada JPN mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran program berkenaan.
“Kerana kita bimbang kalau ia sudah berlangsung beberapa kali sebelum ini dan ada yang mengikuti program itu dan sudah mendapat kewarganegaraan,” katanya.
Dr Abdul Rasid turut meminta penjelasan JPN mengenai jumlah warga asing yang sudah mendapat kewarganegaraan dan jumlah anak dilahirkan warga asing yang menetap di Malaysia.
Katanya, statistik mengenai kedua perkara itu sangat kritikal dalam memahami sikap warga asing apabila datang di negara ini.
“Memanglah niat asal nak cari kerja, tapi kalau ada kelompongan (undang-undang) dalam urusan kewarganegaraan sebagai contoh, warga asing ini akan ambil peluang.
“Itu belum kita lihat kepada aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bukan saja cari kerja, tapi berniaga di sini.
“Sebab itulah saya selalu suarakan perkara berkaitan warga asing dan PATI, kerana jumlah kumpulan ini makin membimbangkan,” katanya. – nasionalkini.my