KUANTAN, 10 Jun – Penduduk tempatan yang berkahwin dengan warga asing dicadangkan untuk mengikut pasangan mereka pulang ke negara asal selepas tempoh sah bekerja di Malaysia tamat.
Ini bagi mengurangkan bebanan kerajaan dan membuka ruang kepada penduduk tempatan mendapat kerja.
Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia, Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan, cadangan itu adalah antara penyelesaian boleh diambil bagi mengatasi kebanjiran warga asing, terutamanya yang masuk tanpa izin ke negara ini.
“Bila dah cukup masa atau tempoh bekerja sudah habis, mereka kena balik ke negara asal… kalau yang dah kahwin dengan warga tempatan, bawa balik sekali pasangan mereka.
“Kalau tidak, makin bertambah warga asing tinggal lebih masa di negara ini… kalau mereka sudi kahwin dengan warga tempatan, maknanya mereka bersedia untuk membawa pasangan itu bersama ke negara asal.
“Ini bagi membuktikan bahawa mereka ikhlas berkahwin dengan warga tempatan, bukan kahwin sebab ada agenda tersembunyi,” katanya.
Dia juga menasihatkan orang ramai supaya peka dengan persekitaran mereka dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika ada aktiviti warga asing mencurigakan di kawasan penempatan mereka.
“Jangan dibiarkan kerana kita tidak tahu kesan jangka panjang untuk komuniti setempat.
“Kalau boleh elak, kita cuba elak sebelum masalah menjadi barah sukar diubati.
“Kita bukan benci dengan pendatang asing, kita cuma berhati-hati, terutamanya kepada yang suka ambil kesempatan,” katanya lagi. – nasionalkini.my