in

Kenyataan dibuat Menteri KPDN mengecewakan

Gambar oleh Sinar Harian

KUANTAN, 12 Januari – Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berhubung tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi mengecewakan rakyat negara ini.

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, kenyataan itu menggambarkan menteri daripada Kerajaan Madani tidak peka memandangkan barangan bersubsidi hanya layak dinikmati rakyat Malaysia.

Dakwanya, tindakan itu seolah-olah cuba membela warga asing untuk turut sama mendapat manfaat daripada subsidi diberikan kerajaan.

“Saya tidak tahu kenapa seorang menteri sanggup keluarkan kenyataan yang begitu mengecewakan atau dalam erti kata lain meruntun jiwa kita sebagai rakyat.

“Kita tahu selama ini warga asing tidak boleh membeli minyak masak bersubsidi.

“Tapi, bagaimana menteri boleh keluarkan pandangan sebegini. Kita bermati-matian untuk pertahankan hak dan subsidi barang hanya untuk warganegara sahaja,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada Selasa lalu, kerajaan menjelaskan tiada sekatan atau larangan kepada warga asing untuk membeli minyak masak peket di kedai runcit, sebaliknya mereka turut tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Armizan dilaporkan berkata, warga asing masih dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi, namun menerima cadangan supaya larangan tersebut dikenakan.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri memberitahu bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub secara jelas menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli barang bersubsidi negara ini.

Katanya, kenyataan Allahyarham Salahuddin pada 24 Jun tahun lalu menjelaskan perbuatan berkenaan (beli barang bersubsidi negara ini) adalah satu kesalahan serius dan boleh didakwa mengikut undang-undang negara.— nasionalkini.my

Rakyat tak patut jadi mangsa politik

Polis Johor siasat pegawai polis belasah orang awam