in

PBT perlu tegas halang warga asing berniaga

Gambar hiasan

KUANTAN, 23 Mac – Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang berniaga di negara ini.

Ini termasuk mengenalpasti pemilik sebenar lesen perniagaan yang dijalankan oleh komuniti warga asing itu.

Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, adalah pelik dan aneh apabila jumlah premis perniagaan diusahakan warga asing semakin bertambah saban hari.

“Siapa yang berikan lesen kepada mereka ini? Adakah PBT tahu atau mereka menggunakan lesen ‘ali baba’.

“Jika terbukti wujud amalan ‘ali baba’, maka tindakan tegas perlu diambil terhadap pemilik asal lesen.

Dr Abdul Rasid Md Ali

“Gantung atau batalkan terus lesen mereka, jangan terlalu berlembut,” tegasnya yang juga AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang.

Dia turut berkongsi rasa hairan dengan pembabitan warga asing dalam bidang perniagaan.

Katanya, kebanyakan warga asing memasuki negara ini untuk bekerja di sektor pembinaan dan perladangan.

“Tiba-tiba kita lihat mereka berniaga… jadi, memang pelik dan ajaib.

“Penguatkuasaan perlu lebih tegas dalam hal ini.

“Jangan sampai rakyat tempatan pula yang terlepas peluang untuk berniaga disebabkan kita terlalu ‘beri muka’ kepada warga asing,” ujarnya.— nasionalkini.my

Penguatkuasaan lemah punca beras putih tempatan ‘hilang’

Landasan ECRL masuk Kota SAS