KUANTAN, 9 Jun – Sejak lebih seminggu lalu, bermacam halangan dihadapi Jack Voon hingga dia tidak dapat mengemas kini perjalanannya mengelilingi dunia.
Dengan urusan imigresen dan kawalan sempadan oleh pihak berkuasa China yang ketat, Jack terpaksa membelanjakan sejumlah wang bagi mendapat kebenaran memandu kenderaan di negara itu.
Namun akhirnya ekspedisi yang menjadi impian Jack dapat diteruskan semula selepas terkandas hampir enam hari.
Jack kini dalam perjalanan ke Yunnan dan sempat singgah di beberapa lokasi bersejarah di negara Tembok Besar itu.

Antaranya Jalan Kuda Teh Kuno atau Chamadao – rangkaian laluan perdagangan bersejarah – merentasi Sichuan, Yunnan dan Tibet di Barat Daya China.
Laluan itu dahulunya digunakan untuk membawa daun teh bagi tujuan dagangan.
Ia juga dikenali sebagai ‘Jalan Sutera Selatan’ dan ‘Jalan Sutera Barat Daya’ oleh penduduk setempat.
Jack berkata, sepanjang laluan itu memiliki tapak arkeologi termasuk denai lama, kediaman diraja dan bangunan keagamaan.
Dia berharap perjalanannya di China akan lebih lancar dan dapat melengkapkan misi berkenaan mengikut jadual. – nasionalkini.my