in

Pantau, sekat video ajaran sesat

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memantau serta menyekat penyebaran sebarang video berunsur ajaran sesat termasuk dari negara jiran yang tular di media sosial.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta majlis agama negeri dalam usaha mengenal pasti dan mengekang penularan bahan seperti itu.

“Kita akan pastikan penularan ini bukan hanya disekat, tetapi mereka yang terbabit dalam penularan itu juga boleh diambil tindakan. Jadi, itu sebab kenapa kita sentiasa beri peringatan untuk elakkan daripada menyebar bahan fitnah, membabitkan 3R (raja, agama dan kaum) termasuklah ajaran sesat.

“Maka kita akan terus memantau, bila kita terima permohonan ataupun permintaan untuk ambil tindakan MCMC akan segera berhubung dengan penyedia perkhidmatan platform itu,” katanya selepas merasmikan pelancaran Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Eco Park@Pantai Dalam di sini malam tadi, lapor Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan satu majlis agama berunsurkan ajaran sesat di sebuah pesantren di negara jiran yang menyanjung Israel dan didakwa turut disertai ramai rakyat Malaysia sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warganet.

Fahmi berkata, selain isu ajaran sesat, KKD akan mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat berunsur penipuan, scam dan penggunaan platform itu untuk menjual bahan terlarang termasuk dadah. – nasionalkini.my

Khan, isteri dihalang ke luar negara

Remaja, kanak-kanak panjat bumbung rumah terbakar