in

Jangan muat turun aplikasi hasad ‘Pink WhatsApp’

IMG 20230627 WA0001
SKMM menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi 'Pink WhatsApp' tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar

Oleh Adam Aariz

CYBERJAYA, 27 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai waspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad ‘Pink WhatsApp’.

Aplikasi berkenaan kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi lebih baik, ‘antaramuka’ yang boleh diubah suai, serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.

Bagaimanapun, SKMM berkata selepas pemasangan, aplikasi hasad berkenaan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan, yang boleh membawa kepada risiko keselamatan yang serius.

“Pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut.

“SKMM menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi ‘Pink WhatsApp’ tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar,” kata SKMM dalam kenyataan, hari ini.

SKMM mengesyorkan pengguna hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

“Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan.

“SKMM ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad,” menurut SKMM

Pengguna disaran untuk kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan ‘Pink WhatsApp’ kepada portal aduan SKMM di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline aduan di 1800- 188-030. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

IMG 20230606 112317 6 x 4 inch

MB Terengganu menghadap Sultan Mizan

IMG 20230627 104103 800 x 500 pixel

Kejayaan JDT hasil kerja keras TMJ, pemain