in

Khan, isteri dihalang ke luar negara

Imran Khan ditahan 9 Mei lalu oleh pihak berkuasa Pakistan - Gambar oleh Reuters

ISLAMABAD, 27 Mei – Kerajaan Pakistan menyekat bekas Perdana Menteri, Imran Khan, isterinya dan ratusan pembantu politik daripada membuat perjalanan ke luar negara, kata pegawai, semalam.

Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA), yang bertanggungjawab untuk imigresen dan sempadan meletakkan nama Khan dalam senarai larangan terbang, dipetik dari Agensi Berita Jerman (dpa).

Isteri Khan, Bushra Bibi, dan lebih 500 pemimpin dan anggota Parti Tehreek-e-Insaf Pakistannya turut tersenarai, kata pegawai itu.

Langkah itu dibuat ketika Khan berdepan tindakan undang-undang beberapa minggu selepas penyokongnya menyerbu kemudahan tentera utama termasuk ibu pejabat tentera, sebagai protes terhadap penahanannya pada 9 Mei lalu.

Hampir 100 bekas ahli parlimen dari parti Khan menjauhkan diri daripada bekas perdana menteri sejak kejadian itu.

Lebih 7,000 penyokongnya pula ditangkap dalam satu siri tindakan kekerasan.

Menurut kerajaan, mereka yang menyerang kemudahan tentera akan berdepan perbicaraan di mahkamah tentera, langkah yang dikritik oleh kumpulan hak asasi global dan negara itu.

Kerajaan Khan, antara 2018 dan 2022, juga melarang beberapa pemimpin pembangkang daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Beberapa menteri kerajaan berkata cadangan mengharamkan parti Khan sedang dipertimbangkan.

Langkah itu mungkin memburukkan lagi kekacauan politik di negara yang menghadapi kegagalan ekonomi dan ancaman kebangkitan semula kumpulan militan.– nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 26 at 11.18.03 PM 1 1

Di sebalik indah hidup di kota, awas risiko kesihatan mental

Pantau, sekat video ajaran sesat