in

SKMM ambil tindakan terhadap Meta

Gambar hiasan

Oleh Adam Aariz

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat induk Facebook, Meta kerana lembap dan tidak bersungguh-sungguh menyekat kandungan memudaratkan.

SKMM berkata pihaknya telah berulang kali meminta syarikat itu untuk menurunkan kandungan memudaratkan di platform mereka yang mengandungi elemen 3R (bangsa, agama dan raja), penyamaran , judi dalam talian serta iklan penipuan.

Namun jelasnya, di sebalik permohonan berulang kali, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkannya.

“Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam.

“Memandangkan tahap kerjasama diberikan oleh Meta adalah tidak memadai, pihak SKMM tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat di alam digital,” menurut kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, SKMM berkata tindakan undang-undang itu perlu dalam menyemai kebertanggungjawaban keselamatan siber selain memperkasa perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan, termasuk juga aktiviti penipuan.

“SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan untuk aktiviti siber berniat jahat dan phishing.

“Ataupun sebarang kandungan menganggu-gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja,” katanya. – nasionalkini.my

Warga Thailand didakwa hari ini kes pemerdagangan manusia

Rugi hampir RM2 juta ditipu bekas calon PRU15