Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 15 Jun – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang memburu seorang ahli perniagaan air yang juga pengasas kumpulan ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau ‘Si Hulk’ yang kini dipercayai melarikan diri ke New Zealand.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, aktiviti kumpulan itu terbongkar selepas JAIM berjaya menahan seorang pengikutnya lelaki berusia 38 tahun di rumahnya di Jasin, di sini Ahad lalu.
“Hasil soal siasat, lelaki itu sepatutnya berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya Selasa lalu, malah sanggup berhenti kerja di Melaka semata-mata mahu berhijrah ke negara itu bersama pengasas dan ahli kumpulannya yang lain.
“Kita percaya masih terdapat kira-kira 20 lagi pengikut ajaran sesat ini yang diasaskan seorang pengusaha minuman kesihatan untuk menyebarkan fahaman sesatnya itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, JAIM sebelum ini telah membuka kertas kumpulan itu susulan penularan video di media sosial pada 20 Mac lalu mengenai dua lelaki Islam di Melaka yang telah memberi kenyataan menghina mengatakan Nabi Muhammd SAW adalah Allah.
“Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bermesyuarat pada 30 Mei lalu telah memutuskan ajaran Si Hulk adalah menyeleweng dan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Sehubungan itu mana-mana individu Islam yang mengamal dan menyebarkan ajaran sesat ini boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. – nasionalkini.my.