KUALA LUMPUR, 28 Mac – Bermula dengan rasa tidak puas hati mengenai isu tapak bazar Ramadan, perselisihan faham antara dua peniaga meleret kepada pergaduhan antara dua keluarga.
Kejadian berlaku di tapak bazar Ramadan Taman Medan, Petaling Jaya dekat sini pada kelmarin membabitkan seorang lelaki peniaga popia dengan seorang wanita peniaga jus tembikai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail, berkata peniaga popia terbabit tidak berpuas hati selepas wanita itu dikatakan masuk ke kawasan tapak dia berniaga menyebabkan berlaku pertengkaran.
Menurutnya, lelaki terbabit kemudian bertindak lebih agresif apabila mengambil sebatang besi sebelum memukul mangsa menyebabkan berlaku kekecohan.
“Mereka kemudian dibawa ke balai polis sebelum kedua-duanya ingin menyelesaikan perkara itu secara baik dengan alasan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, pada jam 5.30 petang, semalam anak-anak lelaki terbabit yang masih tidak berpuas hati bertindak menyerang anak saudara wanita itu yang sedang berniaga sehingga berlaku rusuhan antara kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Berikutan kejadian itu, katanya pihak polis yang ke lokasi menahan semua suspek yang terbabit dalam pergaduhan dan rusuhan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita, berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Kesemua mereka direman dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya.– nasionalkini.my