Oleh AD Azfir
KUANTAN, 7 Jun – Mahkamah Majistret Kuantan hari ini menolak permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai kanan polis yang didakwa menerima rasuah lebih RM1 juta.
Permohonan itu ditolak Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman disebabkan masalah teknikal.
SPRM sepatutnya mengemukakan permohonan reman menggunakan akta mereka sendiri, Seksyen 49 Akta SPRM.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif ketika mengemukakan permohonan reman pagi tadi menggunakan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam mewakili suspek, Datuk Bob Arumugam ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosedur selesai memberitahu, pihak SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.
Katanya, SPRM hanya mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan suspek,selepas permohonan reman mereka ditolak mahkamah.
“Ini bermakna mereka (SPRM) boleh menahan anak guam saya sehingga jam 4 petang ini bagi tujuan siasatan,” katanya.
Pegawai kanan polis itu ditahan petang semalam ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.
Suspek dikatakan menerima suapan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.
Suapan itu didakwa bagi melindungi kegiatan pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi dalam daerah diketuainya.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman memberitahu pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbukti melakukan kesalahan membabitkan integriti.
Beliau turut memberi jaminan polis Pahang akan memberi kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu. – nasionalkini.my