Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 23 Jun – Seorang pengemas penginapan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan batang golf selepas mengetahui mangsa curang dengan lelaki lain Isnin lalu.
Tertuduh, Azwan Azman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Noraishah Ya’acob, 28, dengan menggunakan sebatang golf, baton besi dan kayu buluh.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas, di sini, pada jam 3.30 pagi, 19 Jun lalu.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, pergaduhan tercetus selepas tertuduh mendapat tahu isterinya curang dengan lelaki lain.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N.Sivashangari membantah jaminan terhadap tertuduh kerana kecederaan parah yang dialami mangsa namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh 1 Ogos ini untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – nasionalkini.my