ISTANBUL, 7 Jun – Sebuah pesawat Air India dari Delhi ke San Francisco terpaksa melencong dan mendarat di lapangan terbang di timur laut Russia selepas berdepan masalah teknikal membabitkan salah satu enjinnya, kata syarikat penerbangan itu semalam.
Air India berkata, 216 orang penumpang pesawat berkenaan ditawarkan bantuan dan akan diberikan pilihan alternatif untuk tiba ke destinasi dengan penerbangan terawal.
Katanya, pesawat itu turut membawa 16 anak kapal.
Pihak berkuasa penerbangan Russia berkata, ia sedang memeriksa keadaan teknikal pesawat selepas mendarat di Lapangan Terbang Magadan, dipetik dari Reuters.
“Ketika ini, persoalan mengenai penginapan penumpang sedang diselesaikan oleh pihak berkuasa sempadan, kastam dan wilayah,” kata agensi pengangkutan udara, Rosaviatsia.
Seorang pekerja perkhidmatan penghantaran di Lapangan Terbang Magadan memberitahu Reuters, semua penumpang sudah dibawa ke hotel dengan menaiki bas.
“Pesawat itu ditutup dan dikawal. Kami menunggu pakar (Air India) mendarat menggunakan pesawat simpanan esok.
“Tidak jelas (apa yang berlaku), ada yang tidak kena dengan enjin, ada yang bocor, mereka akan menelitinya esok,” katanya.
Kejadian itu berlaku sehari selepas ketua syarikat penerbangan terbesar dunia membangkitkan kebimbangan keselamatan, susulan syarikat penerbangan yang terbang melalui ruang udara Russia dengan warga Amerika Syarikat (AS) antara penumpangnya.
“Apa akan berlaku jika sebuah syarikat penerbangan mendarat di Russia dengan beberapa warga AS yang terkemuka di dalamnya? Ini adalah krisis yang berpotensi untuk berlaku.
“Saya fikir kita harus selesaikannya sebelum krisis berlaku,” kata Ketua Pegawai Eksekutif United Airlines, Scott Kirby, semalam.-nasionalkini.my