HUNAN, 21 Mei – Kira-kira 62 pegawai kerajaan dijatuhi hukuman selepas sebuah flat di bandar Changsha di wilayah Hunan runtuh sekali gus mengorbankan 54 orang, hujung bulan lalu.
Menurut agensi berita Xinhua yang memetik Reuters, beberapa pegawai kanan bandar raya itu diberi amaran serius, termasuk Datuk Bandar Changsha, Zheng Jianxin.
Sebahagian pegawai berkenaan dipindahkan ke pihak berkuasa kehakiman kerana didakwa terlibat pelanggaran undang-undang serius dan jenayah yang disyaki berkaitan dengan tugas mereka.
Sangat mengejutkan apabila pegawai kanan Changsha, yang kini menjadi Datuk Bandar Chongqing, Hu Henghua, dan bekas Datuk Bandar Changsha diberi amaran.
Pada 29 April lalu, puluhan penghuni di flat berkenaan dilaporkan terkorban apabila blok perumahan yang dipercayai dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa dan ‘dibina sendiri ‘ runtuh di Changsha, ibu kota wilayah selatan itu.
Mereka yang menjadi mangsa terdiri daripada 54 penduduk termasuk 44 pelajar kolej dan sembilan orang cedera, mengakibatkan kerugian ekonomi langsung sebanyak 90.8 juta yuan (RM59 juta)
China kemudian menerbitkan laporan penyiasatan mengenai keruntuhan itu, mengatakan ia berpunca daripada pembinaan yang menyalahi undang-undang dan tidak teratur selain tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Manakala pegawai tempatan gagal menghalang aktiviti pembangunan dan menghalang risiko tersembunyi, menurut media kerajaan. – nasionalkini.my