Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 29 Mei – Kerajaan mengenal pasti lebih 90 peratus projek pembinaan kemudahan kesihatan di seluruh negara yang ‘sakit’ berpunca daripada kontraktor tiada pengalaman dalam projek fasiliti itu.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ini dapat dilihat apabila 24 daripada 166 projek berkenaan mengalami kelewatan untuk disiapkan.
“Daripada 24 kontraktor yang melaksanakan projek ‘sakit’ itu, 22 dikesan tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan sedemikian, jadi langkah diambil adalah JKR selepas ini akan membuat tapisan kontraktor.
“Kontraktor terlibat dalam pembinaan fasiliti kesihatan selepas ini mesti mempunyai pengalaman dalam pembinaan kemudahan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan selama lima hari bermula hari ini di Pusat Kecemerlangan dan Teknologi JKR (CREaTE), Simpang Ampat di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, isu pembinaan dan perbekalan yang sukar untuk digabung menyebabkan kontraktor pembekal mengalami kelewatan yang akhirnya memaksa kontraktor penyelamat digunakan untuk menyiapkan projek.
“Sebab itu kita adakan kursus, buat penapisan… kalau kita ambil 200 kontraktor, kita saring dan sebagai contoh, hanya 35 kontraktor layak lepas saringan,” katanya.
Tegas Abdul Rahman, langkah itu terpaksa diambil bagi mengelakkan kontraktor tidak berpengalaman dibebani denda kelewatan atau liquidated ascertained damage (LAD) yang boleh mencecah sehingga jutaan ringgit. – nasionalkini.my