in

Dewan Rakyat tak pernah bahas, lulus usul bina litar drag

Gambar hiasan

PETALING JAYA, 29 Mei – Peruntukan RM20 juta oleh kerajaan terdahulu untuk pembangunan litar drag di setiap negeri tidak pernah dibahas dan diluluskan Parlimen, kata Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Bajet tersebut diumumkan tanpa mendapat data dan maklum balas daripada KBS.

“RM20 juta tidak cukup untuk pembinaan litar di setiap negeri,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyusul tindakan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menyelar Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memutuskan tidak meneruskan pembinaan litar drag di setiap negeri.

Pada 24 Mei, Ismail dalam satu kenyataan berkata beliau kesal dengan kenyataan Hannah selaku teraju kementerian itu di Parlimen mengenai keputusan kerajaan tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.

Ahli Parlimen Bera itu berkata ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 bagi program berkenaan.

KBS berkata kementerian kekal proaktif mencari kaedah memastikan sukan permotoran dapat terus dilaksana dalam keadaan terkawal dan selamat, namun tidak akan berkompromi mengenai keselamatan pelumba dan semua pihak yang terlibat.

“KBS amat prihatin terhadap faktor keselamatan anak muda dan tidak berhasrat untuk membina litar berdasarkan konsep sekadar ada,” menurut kenyataan itu, lapor FMT.

Sehubungan itu, KBS akan terus melaksanakan projek naik taraf serta memperbaiki kemudahan sedia ada di bawah KBS, walaupun kekangan kewangan ketika ini menghalang usaha pembinaan baharu litar permotoran khasnya litar drag.

“Pada masa yang sama KBS menerusi Jabatan belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan MAM sedang giat membangunkan garis panduan sukan bermotor termasuk perlumbaan drag.

“Ia antara usaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif seterusnya mengurangkan risiko perlumbaan,” menurut kenyataan itu. – nasionalkini.my

IMG 20230529 WA0006

Lebih 90 peratus projek kesihatan ‘sakit’ sebab kontraktor

IMG 20230529 WA0010

Saham Sapura Energy, MHB menokok lepas PETRONAS nafi spekulasi penggabungan