in

Naik taraf fasiliti kesihatan untuk kurang jurang perkhidmatan

Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Usaha menaik taraf fasiliti kesihatan awam yang daif, khususnya klinik kesihatan (KK) bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan di hospital awam tetapi juga bertujuan mengurangkan jurang perkhidmatan kesihatan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata projek penambahbaikan ini juga akan meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan kesihatan seperti disasarkan menerusi tonggak utama Kertas Putih Kesihatan untuk mencapai kelestarian dan kemampanan sistem kesihatan negara.

“Kita mengutamakan perkhidmatan kesihatan yang hampir dengan rakyat iaitu kita buat pembaikpulihan terhadap fasiliti daif seperti di KK kerana perkhidmatan yang diberikan di KK adalah ‘primary care’… kalau ia (KK) baik Insya-Allah boleh atasi semua masalah kesihatan asas komuniti dan rakyat juga tidak perlu tertumpu di hospital-hospital.

“Apa yang kita mahukan sekurang-kurangnya KK ada perkhidmatan X-ray atau makmal,” katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Dr Zaliha berkata, kerangka Kertas Putih Kesihatan yang diperkenalkan juga adalah selari dengan prinsip ekonomi MADANI, antaranya yang memberi tumpuan berkaitan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemampanan sistem ekonomi itu sendiri.- nasionalkini.my

Bincang kemudian PRK Pelangai – Anwar

zahid

Tiba masa taut ukhwah, perpaduan – Ahmad Zahid