in ,

Jadikan derma darah budaya, tanggungjawab sosial

WhatsApp Image 2023 07 22 at 1.21.49 PM
Dr Rusdi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penderma darah selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2023 di sebuah pusat beli belah di Bachang, hari ini.

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 22 Julai – Aktiviti menderma darah harus menjadi tanggungjawab sosial masyarakat yang tidak mempunyai masalah kesihatan untuk membantu pesakit yang memerlukan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, rakyat juga perlu menjadikan usaha murni itu  sebagai budaya hidup setiap tiga atau empat bulan sekali.

Langkah berkenaan katanya penting bagi membantu Jabatan Perubatan Transfusi (Tabung Darah) Hospital Melaka mempunyai stok darah mencukupi untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

“Aktiviti pendermaan darah seharusnya menjadi tanggungjawab sosial rakyat yang layak dan tidak mempunyai masalah kesihatan malah lebih ramai persatuan kesihatan juga dipelawa menganjurkan kempen sebegini.

“Ini penting kerana darah adalah produk terapeutik yang penting dalam sistem kesihatan malah sehingga kini belum ada bahan sintetik yang boleh menggantikan darah sepenuhnya,” katanya kepada nasionalkini.my

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2023 di sebuah pusat beli belah di Bachang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, tanpa sokongan masyarakat bekalan tabung darah sedia ada tidak akan mencukupi untuk menampung keperluan yang semakin meningkat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) amat menghargai sokongan diberikan penderma darah selama untuk memupuk perpaduan membantu menyelamatkan lebih ramai nyawa pesakit,” katanya. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 22 at 1.15.01 PM

Salahuddin Ayub selesai jalani pembedahan – Saifuddin Nasution

Givi Rimba Raid Taman Negara memasuki edisi ke-8 penganjuran