KUANTAN, 16 Julai – Bergelar orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang buat Huzaire Ahmad menabur bakti sebagai pendidik, sekali gus dipilih menerima Anugerah Guru Berwibawa Anugerahkan Guru OKU Berwibawa Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini.
Guru berusia 47 tahun yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2, di Karak itu berkata, gelaran OKU sejak berusia 24 tahun, menyuntik semangat untuknya hidup seperti manusia normal lain.
“Saya anggap kekurangan diri sebagai peluang, bukan rintangan untuk bergelar pendidik dan anugerah yang saya terima ini juga atas kekurangan diri,” katanya ketika ditemui Nasional Kini baru-baru ini.
Sebelum itu, beliau menerima anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman pada Majlis Bicara Profesional Pelan Komunikasi Inspirasi di JPN Negeri, Rabu lalu.
Dalam majlis itu, Huzaire turut menerima kerusi roda khas berharga RM18,000 selain hadiah wang tunai berjumlah RM500 dan sijil penghargaan.
Beliau berkata, anugerah itu membuktikan kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu berdikari dan mencapai kejayaan dalam hidup, sekali gus menangkis persepsi ramai bahawa golongan itu suka ‘meminta-minta’.
“Setakat ini sebanyak 10 anugerah saya telah terima sepanjang berkhidmat sebagai guru antaranya, Anugerah Guru Kreatif pada 2020, Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds Kebangsaan 2022 dan Anugerah Guru Oku Cemerlang Negeri Pahang 2022.
“Anugerah ini akan memberikan semangat untuk saya terus berbakti kepada masyarakat selain memberi dorongan kepada saya ke pertandingan Guru Oku Berwibawa Kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya yang telah 21 tahun berkhidmat sebagai guru. – nasionalkini.my