BENGALURU, 16 Julai – India melancarkan roket yang membawa kenderaan robotik dalam usaha mendaratkan kapal angkasa itu di permukaan kutub selatan bulan.
Ia dianggap sebagai satu pencapaian belum pernah berlaku sebelum ini yang bakal memajukan kedudukan India sebagai kuasa besar dalam industri angkasa lepas.
REUTERS melaporkan, roket pelancar LVM3 milik Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) berlepas dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota di Andhra Pradesh, selatan India, dengan meninggalkan kepulan asap dan api.
Kira-kira 16 minit selepas pelancaran, pusat kawalan ISRO mengumumkan roket itu berjaya meletakkan Chandrayaan-3 di orbit bumi yang akan menghantar kapal angkasa itu ke permukaan bulan sekitar Ogos depan.
Sekiranya misi itu berjaya, India bakal menyertai tiga negara lain iaitu Amerika Syarikat (AS), bekas Kesatuan Soviet dan China yang pernah mendaratkan kenderaan robotik di permukaan bulan.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada agensi angkasa lepas pernah mendaratkan kenderaan robotik mereka berhampiran kutub selatan bulan. – nasionalkini.my