KUALA LUMPUR, 16 Julai – Tesla Inc dijangka melancarkan pikap elektrik pertamanya, dikenali sebagai ‘Cybertruck’ dengan proses pemasangannya dibuat di kilang berhampiran Austin, Texas.
AFP melaporkan, Tesla dalam ciapannya di Twitter berkata, Cybertruck pertama dibina di Giga Texas, selain muat naik itu turut disertakan dengan gambar kenderaan futuristik itu yang dikelilingi pekerja syarikat berkenaan.
Pemilik Tesla dan Twitter, Elon Musk yang mengulang ciap muat naik berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada kakitangan Tesla.
April lalu, syarikat berkenaan dilapor akan melancarkan Cybertruck pertamanya, sebelum akhir tahun ini.
Sesi pengenalan kenderaan itu agak luar biasa apabila Elon mengarahkan pekerjanya memukul satu tingkap kenderaan prototaip menggunakan keluli bagi mempamerkan kekukuhan strukturnya.
Bagaimanapun, tingkap berkenaan pecah ketika sesi ujian dilakukan, selain siri kedua turut memberikan hasil sama, sekali gus mengundang maklum balas negatif. – nasionalkini.my