PUTRAJAYA, 6 Disember – Pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan pendekatan baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 yang dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi itu bermatlamat melahirkan murid berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.
“Bagi kurikulum 2027 ini, kita memilih pendekatan yang lebih segar iaitu pendidikan karakter yang akan dilaksanakan sebagai satu slot masa khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga peringkat menengah atas.
“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” katanya semasa berucap bersempena dengan Bicara Profesional KPM Kurikulum Persekolahan 2027, hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan disesuaikan dengan setiap tahap persekolahan.
Fadhlina berkata, KPM komited memastikan murid menguasai literasi 3M seawal mungkin untuk membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya kerana kegagalan menguasai kemahiran asas itu akan mengekang murid daripada merealisasikan potensi mereka.
Beliau berkata, intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke Tahap Dua dan Tahap Tiga.
Katanya, satu slot khusus akan diperuntukkan bagi Kelas Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah.- nasionalkini.my