Oleh Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR 21 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diseru melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kematian seorang pendaki negara di Gunung Everest.
Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ianya penting kerana sejak pendakian Everest Malaysia dari tahun 1997 sehingga 2023, ini adalah kes pertama seumpamanya.
“Takziah di atas kematian pendaki Malaysia Everest yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub.
“Saya juga berdoa agar pendaki Everest, Muhammad Hawari Hashim segera ditemui selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam.

“Saya berharap agar arwah selamat di bawa pulang dengan sempurna dan mohon agar kerajaan dan penganjur juga wajar membantu keluarga arwah dengan bantuan yang sewajarnya,” katanya hari ini.
Terdahulu, seorang pendaki program Malaysia Everest 2023 (ME 2023) meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia itu, kelmarin.
Awang Askandar, 55, disahkan meninggal ketika sedang menerima rawatan lanjut di Kem 4.
Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.
Katanya, selepas kejadian Allahyarham dibawa ke Kem 4 dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Muhamad Muqharabbin menambah, pendakian ke puncak Everest bukanlah perkara mudah dan boleh didaki dengan sesuka hati.
Ujarnya, ia memerlukan latihan intensif dan persediaan rapi dengan pendaki perlu didedahkan dengan pengalaman mendaki di gunung-gunung salji selain latihan teknikal.
“Saya terpaksa berlatih lebih dua tahun di dalam dan luar negara dan ke Nepal beberapa kali sebelum mendaki Everest pada tahun 2004.
“Di Nepal pula saya perlu mengadaptasikan diri dengan gunung di sana selama dua bulan sebelum sampai ke puncak pada 16 Mei 2004.
“Ini bagi memastikan badan kita bersedia dan dapat bertahan dalam keadaan suhu sejuk yang ekstrim dan cuaca yang tidak menentu,” katanya lagi.
Menurut beliau, untuk ke puncak Everest, beliau mengambil masa 10 jam sebelum sampai ke puncak 8,848 (900 meter ketinggian) dan turun semula ke Camp 4 yang mengambil masa lapan jam.
“Sekiranya, kita tidak cukup stamina, kita pasti akan menghadapi perkara ini dan akan boleh menyebabkan kita mengalami Penyakit Akut Gunung atau AMS,” katanya. – nasionalkini.my