KUALA LUMPUR, 21 Mei – Perjuangan Islam itu tidak sepatutnya disempitkan dengan keterikatan terhadap mana-mana parti politik kerana falsafah perjuangan Islam yang sebenar adalah luas dan merangkumi pelbagai aspek.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, perjuangan Islam ialah perjuangan mengajak manusia bersaudara atas nama Islam dan mengajak semua pihak yang berbeza agama bersaudara atas nama rakyat Malaysia.
“…selain memastikan urusan pentadbiran negara, negeri dan daerah serta kampung sentiasa telus tanpa penyalahgunaan kuasa dan kebajikan rakyat khususnya marhaen terbela,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang kini merupakan penasihat agama kepada Timbalan Perdana Menteri berkata, perjuangan Islam adalah perjuangan memastikan undang-undang negara sentiasa selari dengan Islam dan dasar-dasar perundangan Islam,”
Beliau menambah, manhaj sebenar di sebalik perjuangan tersebut adalah memastikan seruan melakukan makruf dan mencegah kemungkaran dengan pelbagai cara yang berhikmah.
“Demikianlah luasnya cakupan perjuangan atas nama Islam,” jelasnya.
Khairuddin sebelum ini merupakan Ahli Majlis Syura Ulama PAS namun meletak jawatan 21 Februari tahun lalu sebelum mengumumkan mengumumkan pendiriannya keluar daripada PAS, sebulan kemudian iaitu 14 Mac 2022.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Khairuddin bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus sebagai calon BN selepas mengisytiharkan keluar daripada PAS, namun tewas di kerusi berkenaan.
Beliau kemudian dilantik sebagai penasihat agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut sumber Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Khairuddin dilantik memegang jawatan itu secara pro bono iaitu tanpa menerima gaji. – nasionalkini.my