Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR 21 Mei – Penyanyi yang digelar Papa Rock, Datuk Ramli Sarip, 71, dilihat masih bertenaga sewaktu melantunkan suaranya menerusi lagu-lagu yang didendangkan ketika mengadakan persembahan.
Apa yang membuat penonton terpegun melihat persembahannya pada konsert Syair Timur, di Dewan Filharmonik, PETRONAS, KLCC, baru-baru ini, adalah beliau menyanyi sambil duduk.
Biarpun duduk, penyanyi berpengalaman itu tetap boleh tarik nada tinggi dalam setiap lagu yang didendangkan. Malah beliau hanya meneguk air untuk membasah tekak selepas mendendangkan tujuh buah lagu.
“Saya kalau setakat sejam dua masih boleh lagi menyanyi tanpa minum air kerana dah biasa. Alhamdulillah, kalau menyanyi sambil duduk pun masih boleh untuk tarik suara nada tinggi.
“Itu semua adalah sebahagian daripada rutin saya setiap kali mengadakan persembahan. Saya bersyukur, walaupun sudah menjangkau usia sebegini, peluang mengadakan persembahan tidak pernah putus,” katanya terus terang.
Beliau yang tidak lokek untuk berkongsi rahsia kecergasan diri dan suara sepanjang bergelar artis berkata, apa yang perlu dilakukan adalah menjaga diri di mana saja berada.
“Maaf cakap, bukan saya baik tapi nasib saya baik. Saya mula kerja sejak umur 16 tahun dan kerja di kelab pula tu. Saya tak pernah rasa bir. Sebab saya sentiasa pegang pesanan ayah, dia ingatkan saya kerana saya budak kampung.
“Saya kerja kat bar, perempuan ramai tapi tujuan saya hanya nak main muzik saja. Saya rasa doa ibu ayah penting dalam hidup itu yang saya pesan pada generasi muda, ada ayah ibu berbaktilah kepada mereka,” katanya.
Tambah Ramli, tawaran untuknya mengadakan persembahan sentiasa ada kerana penganjur tahu beliau masih aktif walapun mula dalam bidang seni sejak 1964.
Ujarnya, antara faktor yang membuatkan dirinya sentiasa berada dalam radar seni tempatan kerana sering tampil dengan karya-karya baharu sebagai penyambung perjalanan seninya.
“Penyanyi baharu mesti terus cipta lagu bagi yang ada kelebihan itu. Very simple, kalau kita tak ada lagu macam mana kita nak berniaga. Sekarang ini nak cari lagu yang macam zaman saya dah susah, lirik pun susah. Orang pun takut nak masuk ke alam tu takut orang tak nak dengar, tak popular.
“Bagi saya tak penting benda itu, mungkin sebab saya dah lalui. Adalah masa untuk saya pecahkan tradisi itu. Ada lagu yang saya buat usianya 20 tahun. Kita tahu lagu yang kita buat ini tak akan dijadikan kegemaran radio tapi ia akan jadi kegemaran orang tertentu yang cari benda ini.
“Macam lagu Batu, orang tahu sangat. Lagu Adam Hawa, kalau dengar sedap rupanya dengan lirik dan muzik. Sebab itulah, kalau nak terus bertahan dalam bidang ini kena berkarya tanpa henti.
“Anak muda yang ada bertahan sampai 10 tahun dan pernah masuk pertandingan tapi sepi begitu saja, sayang bakat itu. Bangkitlah berkarya memenuhi impian sendiri,” katanya.
Selain sibuk menjayakan konsert solo, Ramli juga bergabung dengan anggota Sweet Charity untuk menjayakan Konsert Berita Gempa di Arena Larkin, Johor Bahru, 29 Julai nanti.
Sebelum itu beliau akan menghibur peminat sempena Konsert Blues Untuk Rakyat di Stadium Utama SUKPA pada 5 Ogos nanti. – nasionalkini.my