PEKAN, 2 Ogos – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihati rakyat agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) yang sangat berbahaya dan memberi kesan kepada perpaduan serta keharmonian negara.
Katanya, isu 3R berisiko menyebabkan berlakunya jurang lebih besar antara kaum selain boleh melahirkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama.
Beliau pada masa sama berharap rakyat mengamalkan politik matang dan bukannya politik serang-menyerang sepanjang masa.
Hal demikian tegas beliau penting bagi membolehkan usaha membangunkan negara yang giat dilaksanakan Kerajaan Perpaduan berjalan seperti diharapkan.
“Sekarang masa untuk membangunkan negara dan negeri. Jika tidak, ia akan lebih teruk pada masa akan dating ekonomi merundum, pendapatan negara turun dan hutang negara tinggi.
Pada masa itu, tidak ada gunanya untuk menyesal,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Pahang di Dataran Bandar Diraja Pekan malam tadi.
Wan Rosdy juga berkata, program-program menyemarakkan semangat patriotik harus kerap diadakan bagi mengingatkan rakyat khususnya generasi muda bahawa kemerdekaan yang dinikmati adalah hasil usaha serta pengorbanan dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu. -nasionalkini.my