KUANTAN, 29 Oktober – Aktivitis bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli menyarankan semua pihak tidak terus menyebarkan video kesilapan ucapan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada himpunan Pahang For Palestine semalam.
Katanya, kesilapan ucapan Wan Rosdy itu adalah disebabkan keghairahan beliau yang terlalu marah terhadap keganasan Zionis.
“Sejak semalam banyak pihak menyebarkan, berkongsi atau membuat pelbagai andaian berkaitan video itu.
“Sedangkan video disebarkan itu hanyalah potongan daripada video penuh.
“Saya ada di sana dan menyaksikan sendiri Datuk Seri Wan Rosdy mengakui tersilap sebut dan memperbetulkan kesilapan itu,” katanya.
Mohd Shukri yang turut dikenali sebagai Cucu Mat Kilau berharap perkara itu tidak dipanjangkan kerana kerajaan Pahang sangat prihatin dengan nasib menimpa rakyat Palestin ketika ini.
Katanya, kerajaan Pahang juga mengumumkan sumbangan RM100,000 untuk tabung Palestin 2.0 yang dilancarkan semalam.
“Saya fikir yang sebarkan video sekerat-sekerat ini mempunyai agenda tertentu, mungkin ada agenda politik.
“Sedangkan semua orang boleh dengar ucapan penuh Menteri Besar Pahang pada himpunan berkenaan,” katanya lagi.- nasionalkini.my