KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan manifesto bagi Selangor lusa sebagai tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos akan datang.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pengumuman berkenaan akan dijadikan ‘game changer’ kepada negeri Selangor sekali gus boleh meningkatkan Negeri Selangor dan juga kedudukan rakyat di negeri ini kepada satu tahap yang lebih tinggi.
“Pengumuman ini sekali gus menafikan dakwaan gabungan ini tidak mempunyai idea untuk membentangkan tawaran kepada pengundi.
“Saya rasa yang akan saya umumkan ini sesuatu yang bukan sahaja menarik tetapi satu ‘game changer’ yang boleh meningkatkan Negeri Selangor dan juga kedudukan rakyat Selangor kepada satu tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Bernam, semalam.
Manifesto tersebut katanya meliputi pemberian bantuan langsung kepada golongan kurang berkemampuan termasuk miskin dan miskin tegar.
“(Manifesto) ini dapat memberikan bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung, menyediakan bantuan prihatin, kemudahan untuk anak-anak muda, wanita, orang tua, dewasa dan pelbagai lagi.
“… yang saya teliti tadi agak cukup elok, dan kita akan umumkan pada Jumaat malam akan datang.
“Ia jelas apa yang termaktub dalam itu termasuk antara lain soal pemberian air secara percuma bagi sesetengah kategori penduduk di Negeri Selangor,” katanya. -nasionalkini.my