in

Peluang menang di Sungai Bakap cerah

Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 20 Jun – Peluang Kerajaan Perpaduan menawan semula kerusi Sungai Bakap pada pilihan raya kecil (PRK) 6 Julai ini semakin cerah dengan penampilan calon diketengahkan.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, berkata dia juga melihat dalam kalangan penduduk Sungai Bakap yang menginginkan perubahan.

“Saya melihat mood (suasana) yang sangat baik dalam kalangan masyarakat di Sungai Bakap.

“Masyarakat (di Sungai Bakap) memerlukan pemimpin berkualiti, mampu memimpin ke arah lebih baik secara holistik termasuk dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.

“Jadi saya kira ada peluang cerah untuk calon Kerajaan Perpaduan memenangi PRK Sungai Bakap kali ini,” katanya seperti dilapor BH Online.

Gambar ihsan NSTP

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata calon diketengahkan Kerajaan Perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin adalah seorang pendidik yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dari segi kepemimpinan.

“Dia anak jati Sungai Bakap yang sudah tentunya memahami denyut nadi masyarakat setempat.

“Justeru, saya menyeru pengundi di Sungai Bakap memberi sokongan penuh kepada Dr Joohari dan Kerajaan Perpaduan.

“Ini penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat berlangsung dengan baik,” katanya.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – nasionalkini.my

Busker hilang mata pencarian lepas bilik sewa terbakar

Jangan terjebak dalam perangkap IMF