in

Jangan guna isu agama sebagai polemik, perbalahan politik

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik - Gambar oleh MalayMail

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Baginda bertitah, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan menghormati kedudukan Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

Namun, titahnya, agama lain masih boleh diamalkan di negara ini dengan aman dan damai.

“Semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.

“Bagi membina sebuah negara gagah perkasa, maju jaya, berwibawa dan bermaruah, kita hendaklah membuang agenda retorik perpecahan dan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan yang lebih baik,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena ulang tahun Hari Keputeraan rasmi yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

20230605 091233
Baginda bertitah sempena ulang tahun Hari Keputeraan rasmi yang disiarkan secara langsung, malam tadi – Gambar oleh Bernama

Yang di-Pertuan Agong bersyukur sambutan hari keputeraan itu disambut dalam suasana landskap negara stabil dan sentosa.

Titah baginda, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan proses pembentukan kerajaan yang berlangsung dalam suasana aman adalah bukti jelas demokrasi diamalkan sejak tujuh dekad lalu kekal subur.

“Negara mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah negara maju dan disegani. Malaysia dilimpahi nikmat keamanan, kepelbagaian sumber dan modal insan yang berkualiti serta mempunyai semangat juang tinggi.

“Sebenarnya kekuatan utama negara adalah rakyatnya yang mencintai kedamaian, keharmonian dan kesatuan serta menerima kemajmukan.

“Rakyat sudah sekian lama berjaya mencipta nama di persada dunia dalam pelbagai bidang termasuk mencorak landskap geopolitik serantau dan global,” titah baginda.

Bersempena sambutan itu, baginda menzahirkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mempersembahkan ucapan dan berterima kasih kepada anggota pentadbiran, penjawat awam serta pasukan keselamatan yang menyumbang kepada keamanan negara.

Baginda turut mengajak barisan kepimpinan untuk terus berkhidmat setulus hati selain meningkatkan usaha membentuk sistem pentadbiran yang cekap, mesra rakyat dan berintegriti demi membela masa hadapan rakyat serta negara. – nasionalkini.my

Pembahagian kerusi PN selesai petang ini

Selena Gomez pernah sakit mental