in

Agong lawat NWRC Sungkai

Gambar oleh Bernama

TANJUNG MALIM, 21 September – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan berangkat ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, dekat sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan menyertai Seri Paduka dalam lawatan itu yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, lapor BH Online.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengenai operasi NWRC dan menyaksikan sendiri inisiatif konservasi hidupan liar di pusat itu termasuk Harimau Malaya, beruang matahari, tapir dan seladang.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melepaskan burung Murai Batu yang juga hasil rampasan sebagai simbolik lawatan sulung Seri Paduka.

NWRC ditubuhkan sebagai pusat menyelamat iaitu penempatan sementara hidupan liar yang dirampas di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Pusat itu menjalankan aktiviti konservasi Harimau Malaya secara ‘ex situ’ seperti menjalankan operasi menyelamat, rehabilitasi, husbandri, rawatan dan kawalan penyakit, penyelidikan dan pembiakan menggunakan teknologi terkini.- nasionalkini.my

9f0ea501 0f37 41a3 b625 3a7c99b0cc26

Warga maya teruja lihat foto putera sulung Tengku Mahkota Kelantan

Transaksi tanpa tunai kini di Bukit Fraser