in

Pembahagian kerusi PN selesai petang ini

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA SELANGOR, 5 Jun – Pembahagian kerusi dalam kalangan gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi enam pilihan raya negeri (PRN) akan dimuktamadkan petang ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi itu dijangka selesai kira-kira jam 5 petang.

“Pembahagian (kerusi) PN esok (hari ini) ‘final’ di (Ibu Pejabat PN) di Publika, Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks PAS Tanjong Karang malam tadi, lapor Sinar Harian.

Ditanya adakah kedatangan beliau membawa pendekatan dan strategik politik PN bagi menawan Selangor, Muhammad Sanusi menafikan perkara itu.

“Pendekatan dan strategi itu, orang (pemimpin) di sini (peringkat negeri) yang tentukan, bukan saya,” ujarnya.

Pada 17 Mei lalu, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sudah hampir memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN.

Perbincangan mengenai perkara itu turut dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 23 Mei lalu.

Beliau juga sudah mengarahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan agihan kerusi.

Pasukan perunding itu membabitkan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.-nasionalkini.my

Garis panduan baharu untuk aktiviti luar kelas

Jangan guna isu agama sebagai polemik, perbalahan politik